LATAR BELAKANG SEKOLAH
Penubuhan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dicetuskan hasil inisiatif masyarakat setempat lebih setengah abad yang lalu. Antara yang memainkan peranan ketika itu ialah tuan Kadi Hulu Terengganu pada masa itu, En.Mohamad bin Abu Bakar dan Tuan Fakeh Abdullah, seorang ulamak dan guru pondok yang tidak asing di kalangan masyarakat tempatan. Menurut pendapat Tuan Kadi tersebut, adalah sangat perlu sebuah institusi pendidikan seumpama Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu ditubuhkan di daerah Hulu Terengganu bagi memberi didikan agama yang sempurna kepada kanak-kanak iaitu sebuah sekolah yang lengkap dengan guru serta kemudahan asas lain.
Ekoran dari itu, pada Oktober 1955, Tuan Kadi berusaha dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu supaya tapak balai polis lama di Kuala Berang didirikan sekolah yang diperlukan buat sementara waktu. Setelah rundingan tersebut berjaya, pada bulan November 1955, sebuah jawatankuasa bertindak ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Tuan Fakih Abdullah, iaitu seorag ulama dan guru agama pondok yang tidak asing lagi kepada masyarakat di sini. Turut menganggotai jawatankuasa ini ialah orang-orang kenamaan dan berpengaruh di daerah ini seramai 14 orang.
Perkataan Mahmudiah diambil dari nama Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud iaitu Yang Dipertuan Muda Terengganu. Pada mulanya pihak jawatankuasa memilih nama Fakih sempena nama Tuan Fakih Abdullah yang pernah menjadi pengerusi jawatankusa yang pertama, tetapi telah dibatalkan setelah nama Mahmudiah dimaklumkan dari Pejabat Agama Terengganu.
Pada awal penggal pertama tahun 1955, jawatankuasa ini telah menerima seramai 84 orang murid perempuan. Mereka telah ditempatkan di dalam satu kelas yang dinamakan kelas Satu Alif satu Satu Ba. Menjelang penggal kedua, Pejabat Agama Terengganu mula menghantar dua orang guru sebagai permulaan iaitu Ustaz Mahmud Salim bin Haji Mohd sebagai guru besar dan Ustaz haji Endut Yusof sebagai penolongnya, Pada hari Isnin 10 September 1956 bersamaan 5 Safar 1376. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasirudin Shah, Sultan Terengganu telah merasmikan bangunan sekolah ini. Setahun kemudian seorang lagi guru telah dihantar ke sini iaitu Tuan Haji Salleh bin Ismail.